Saturday, 30 August 2025

Anugerah META 2025 Angkat Martabat Pendidikan & TVET Sarawak


KUCHING, 28 Ogos – Terbilang Academy Sarawak (TAS) sekali lagi membuktikan kewibawaannya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal apabila meraih pengiktirafan berprestij di Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025, yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ishak Johari, diumumkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang bagi Kepimpinan TVET & Pendidikan, mengiktiraf kepimpinan beliau yang berwawasan serta dedikasi memacu kecemerlangan pendidikan dan TVET di negeri Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya.

Majlis penganugerahan berprestij yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, itu turut menghimpunkan tokoh-tokoh akademik, penggiat industri serta institusi ternama negara bagi meraikan kejayaan dan sumbangan besar dalam bidang pendidikan serta TVET.

Menurut Dr. Ishak, penganugerahan ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, malah pengiktirafan kepada usaha kolektif seluruh warga Terbilang Academy Sarawak.

“Pengiktirafan ini saya dedikasikan kepada seluruh warga TAS, para pendidik, pelajar serta komuniti yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam perjuangan kami. Kami percaya pendidikan dan TVET adalah kunci utama pembangunan modal insan dan kemajuan Sarawak menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Terbilang Academy Sarawak yang ditubuhkan sejak 2023 yang bermula sebagai pusat tuisyen sejak 2005 telah berkembang dan memainkan peranan penting dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak negeri, dengan memberi tumpuan kepada program komuniti, pembelajaran sepanjang hayat serta kerjasama strategik bersama universiti tempatan.

Kejayaan di META 2025 ini menjadi pemangkin kepada TAS untuk terus mengorak langkah ke hadapan, bukan sahaja dalam melahirkan graduan berdaya saing, malah membina jaringan kerjasama global demi memastikan TVET dan pendidikan di Sarawak kekal relevan dalam era cabaran baharu.

Majlis anugerah META 2025 turut diserikan dengan forum bertemakan “Skills for the Future, Smarter Pathways: Innovating Education & TVET for a Changing World”, yang membincangkan hala tuju inovasi pendidikan dan latihan dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan global.

——————————————————————————————————

Pusat Tuisyen Terbilang dengan penuh rasa bangga meraikan kejayaan cemerlang di Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025, apabila berjaya menerima pengiktirafan berprestij:

🏅 Anugerah Personaliti Cemerlang bagi Kepimpinan TVET & Pendidikan dianugerahkan kepada Pengarah Pusat Tuisyen Terbilang, Dr. Ishak Johari, sebagai penghormatan atas kepimpinan beliau yang berwawasan dalam memacu kecemerlangan pendidikan dan TVET.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Tuisyen Terbilang memacu kecemerlangan dan keterbilangan akademik anak-anak Sarawak dengan memberi impak melalui pelaksanaan program pendidikan komuniti dan kerjasama pemimpin tempatan, kerajaan negeri, agensi pendidikan dan sekolah-sekolah kerajaan dan swasta.

#tuisyenterbilang #pelajarterbilang #guruterbilang #ptterbilang #spm