Belajar online: Jangan asyik tekan guru, pelajar - Komentar Teon Eg (Pengarang Berita Utusan Malaysia)
Pembelajaran Menggunkan Applikasi Zoom
Oleh Teon Eg10 November 2020, 8:51
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sesi kedua bermula lagi.
Yang terkecuali Pahang, Kedah, Perlis dan Sarawak kecuali di Kuching.
Sebelum PKPB dikuat kuasa mulai 9 November, kerajaan beri tempoh tiga
hari.
Walaupun khabar PKPB tidak menggembirakan namun ada tempoh
‘bertenang’. Tetapi pelik dengan Kementerian Pendidikan Isnin lalu
apabila keputusan menutup sekolah di semua negeri dilakukan secara
tiba-tiba.
Umum semalam tutup semalam. Begitu juga semua asrama di institusi
pengajian tinggi, menengah atau rendah juga ditutup. Ibu bapa disuruh
menjemput pulang anak masing-masing yang berada di serata negeri.
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan sesi persekolahan tahun 2020.
Netizen mempersoalkan nasib pengusaha kantin, pekerjanya dan
pengusaha bas sekolah. Keputusan tiba-tiba menyebabkan mereka menanggung
kerugian kerana stok bahan mentah belum habis. Begitu juga nasib
pekerja kantin dan pengusaha bas sekolah hilang kerja seperti kilat.
Apa pun keputusan, pokoknya Covid-19 benar-benar memberi kesan
termasuk dalam sektor pendidikan. Pengajaran dan pembelajaran (PdP)
dalam talian terlalu baharu dan terlalu banyak kekangan bukan sahaja di
pihak ibu bapa, pelajar tetapi guru sendiri.
Pemilikan komputer, internet dan kebolehan pelajar memberi fokus amat
meragukan. Belum lagi isu ruang PdP di kediaman guru mahupun pelajar
sesuaikah?
Justeru, pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran seluruh
negeri jangan memberi tekanan berlebihan kepada guru dan pelajar
melaksanakan dan mengikuti PdP menerusi pelbagai aplikasi secara dalam
talian.
Imbaslah semula kisah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah yang memanjat pokok untuk mendapatkan
capaian internet bagi menjawab peperiksaan secara dalam talian.
Hakikatnya ada ramai lagi `Veveonah’ bukan hanya di Sabah tetapi di
semenanjung juga.
Jika kementerian dan JPN mengharapkan sesi PdP lancar seperti atas
kertas sila selesaikan kelengkapan ke arah tersebut bukan sekadar
cadangan menerusi mesyuarat.
Pengubal dasar dan pembuat keputusan era Covid-19 dilihat hanya
pandai cakap, beri cadangan dan arahan. Mereka tidak melalui situasi
seperti dialami rakyat.
Agak rasional apabila ada cadangan supaya gaji mana-mana menteri,
timbalan dan ketua pegawai eksekutif milik kerajaan yang tidak boleh
berfungsi ketika ini dibekukan sementara. Bayar gaji puluhan ribu tetapi
tidak membantu rakyat daripada hilang kerja, terputus punca rezeki
adalah pembaziran.
Amaran tersebut revelan dengan cita-cita barisan ADUN dan EXCO
Kelantan yang mengharap gaji mereka dinaikkan RM3,000 hingga RM5,000
seorang ketika penduduk negeri itu masih ramai yang bekerja kais pagi
makan pagi.